Bangalore, 7 November – Suasana pengamal-pengamal perubatan masakini di tanahair cukup merisaukan. Ini dilihat dari kualti kerja yang makin menurun di kalangan pengamal-pengamal perubatan terutamanya yang baru tamat pengajian. Senario ini mungkin berlaku disebabkan pengamal-pengamal perubatan masakini lebih mementingkan gaji dari kerjaya dalam perubatan itu sendiri.
Sehubungan dengan itu, Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin, Timb Pengerusi Sekretariat Luar Negara ISMA menyeru pelajar perubatan di sini untuk lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa mengingati hakikat bahawa tugas seorang doktor bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga untuk memastikan pesakit berada dalam keadaan yang tenang emosinya. Beliau menjelaskan bahawa nisbah jumlah doktor dengan pesakit di tanahair adalah tidak setanding, maka seandainya seorang doktor hanya bekerja 8 jam sahaja, sudah semestinya masa yang diluangkan bersama pesakit akan dikurangkan, walhal pesakit memerlukan doktor untuk mendapatkan dorongan dan semangat untuk mengharungi penyakit yang dihidapi.
Beliau berkata demikian di hadapan sekitar 100 pelajar perubatan dari International Medical College, Management Science University di sini.

